Senin, 16 Juli 2012

PENGGUNAAN MADU LEBAH MENGIKUT PERSPEKTIF ISLAM DAN AL-QURAN
 
Al-Quran merupakan kitab petunjuk kepada manusia yang penuh dengan perbendaharaan ilmu pengetahuan. Rahsia khazanahnya tidak akan habis sampai bila-bila sekalipun ia terus dikaji dan digali. Allah memberikan sedikit pengetahuan kepada ilmuan untuk mengetahui rahsia al-Quran berdasarkan ketajaman intelek dan rohani, pemahaman, hidayah dan ilham yang dikurniakan Allah kepada mereka. Al-Quran terlalu luas isinya. Jika dibuka satu pintu daripadanya, didapati dibelakangnya terdapat pintu-pintu lain yang kuncinya disisi Allah Taala. Firman Allah:
”Tiadalah kami meluputkan sesuatupun didalam al-Kitab” (al-Quran)
Sememangnya al-Quran bukan kitab sains, matematik dan sebagainya. Namun, kitab al-Quran telah menyingkap segala konsep ilmu yang merentasi semua ilmu pengetahuan. Jika kita ingin menyelidiki ilmu yang berkaitan dengan sains, al-Quran memberikan jawapannya. Demikian juga ilmu-ilmu yang lain, al-Quran menyingkap jawapan dengan penuh yakin. Cumanya, apabila didapati seolah-olah wujud pertembungan di antara ilmu kajian manusia dengan al-Quran, ternyata ia adalah kelemahan manusia memahami limu kajian mereka, bukan kebenaran al-Quran.
Terdapat ulama yang melarang kajian-kajian khususnya membabitkan sains dikaitkan dengan al-Quran jika matlamat kajian itu semata-mata menyesuaikan di antara kedua-duanya. Mereka berpendapat al-Quran tidak menyentuh soal-soal ilmiah, sama ada yang berkaitan dengan kaedah atau fenomenanya. Pada mereka, penemuan sains sering mengalami perubahan. Jika terdapat ilmuan yang cuba menjadikan tafsiran al-Quran mengikut maklumat sains, di bimbangi akan terjadi usaha berlebih-lebihan untuk menjadikan penemuan tersebut suatu kebenaran seperti maksud al-Quran.
Namun, Syeikh Tantawi ulama al-Azhar sebaliknya meyakini bahawa terdapat hubungan yang erat di antara al-Quran dan sains. Pada Tantawi, al-Quran adalah kitab yang hidayah kepada manusia. Bahasa al-Quran adalah tinggi, malah susunan bahasanya sampai ke peringkat susunan bahasa sains paling tinggi. Apabila peraturan sains berubah, maka yang salah ialah pemahaman manusia terhadap maksud Allah tentang ayat-ayatNya. Semuga usaha memahami rahsia alam melalui sains dengan bantuan ayat Allah akan menjadikan kita lebih teguh iman dan ketakwaan kepada Maha Pencipta.
 
Madu Lebah dalam al-Quran
Lebah adalah antara nama binatang yang disebut dengan terperinci kerjayanya di dalam al-Quran. Hal ini boleh didapati di dalam al-Quran surah al-Nahl (ayat 65-69). Firman Allah:
Dan Tuhanmu mewahyukan kepada lebah: buatlah sarang-sarang di bukit-bukit, di pohon-pohon kayu, dan di tempat-tempat yang dibuat manusia, kemudian makanlah dari tiap-tiap (macam) buah-buahan, dan tempuhlah jalan Tuhanmu yang telah memudahkan (bagimu). dari perut lebah itu, keluarlah minuman(madu) yang bermacam-macam warnanya. Di dalamya terdapat ubat yang boleh mnyembuhkan bagi manusia. sesungguhnya pada yang demikian itu, benar-benar terdapat tanda (kebesaran Tuhan) bagi orang yang memikirkannya.
Ayat di atas adalah perkhabaran Allah kepada manusia mengenai tugas yang dibebankan kepada lebah. Lafaz yang ditujukan kepada lebah ialah bentuk ”mu`annath” yakni betina. Ini sesuai dengan keadaan yang berlaku dalam kerajaan lebah dan sesuai pula dengan kehidupannya. Ini kerana kerajaan lebah adalah dipimpin betina dan bilangan lebah jantannya jauh lebih kecil daripada bilangan lebah betina. Dari segi yang lain, peranan lebah jantan dalam kerajaan lebah lebih terhad, hanya untuk memberikan keturunan kepada betina. Apabila selesai lalu semuanya mati, tidak ada yang tinggal kecuali betina sahaja iaitu ratu dan pekerja betina yang bertugas mencari madu dan membuat sarang.
Al-Quran juga menjelaskan mengenai fungsi lebah iaitu memakan berbagai buah-buahan (madu bunga). Jika diperhalusi kenyataan al-Quran tentang buah-buahan ini di dapati pada ayat sebelumnya Allah telah menerangkan mengenai fungsi air yang sangat besar dan manfaatnya kepada alam. Antaranya ialah air menghidupkan bumi yang tandus, menyebabkan adanya susu di dalam tubuh binatang ternak dan menghasilkan pelbagai buah-buahan yang kemudiannya menghasilkan manisan dan zat gula. Malah, terdapat pelbagai keistimewaan yang lain di dalam buah-buahan seperti vitamin, protein, garam dan lain-lain lagi.
Apabila lebah memakan buah-buahan yang mempunyai pelbagai zat gula, hasilnya keluar sejenis minuman yang berbeza warnanya iaitu madu. Ini bermakna, madu yang dicernakan oleh lebah adalah hasil daripada cecair gula yang diambil dari pelbagai buah-buahan. Timbul persoalan, kenapa al-Quran menyatakan ”dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya” tanpa disebut dengan bahasa ”pelbagai jenisnya”. Dr Abdul Karim Najib (1994) ketika memberikan komentarnya mengenai hal di atas menjelaskan bahawa warna pada madu lebah itu sangat penting kepada penyembuhan penyakit. Setiap jenis zat gula yang terdapat pada madu lebah menghasilkan warna yang berbeza-beza. Kajian makmal yang dilakukannya menunjukkan, apabila pancaran cahaya putih melalui prisma kaca yang halus, cahaya putih tersebut akan bercabang menjadi tujuh warna. Kumpulan cahaya itu disebut spektrum. Setiap warna cahaya tersebut dari madu mempunyai gelombang yang panjangnya berbeza-beza. Sebab itu, jenis zat gula yang wujud di dalam madu berbeza-beza disebabkan warna-warna yang diserap di dalam madu tersebut berbeza-beza. Demikian juga dengan warna madu itu sendiri yang berlainan seperti putih, kuning dan merah yang mempunyai khasiat berbeza-beza.
Adalah hal yang tidak janggal jika diperhatikan persoalan warna yang dibincangkan di atas turut dibincangkan oleh pelbagai pihak. Sudah ada beberapa pihak yang mengkaji mengenai hubungan di antara kesihatan tubuh manusia dengan warna-warna yang ada di dalam bunga-bungaan dan tumbuh-tumbuhan. Hal ini ditokok tambah pula dengan amalan perawatan tradisional kita juga mengesyorkan mandian bunga-bungaan yang berwarna terang bagi usaha memulihkan kesehatan badan. Tentunya, ia bertujuan bagi menghasilkan getaran dari warna-warna bunga itu untuk kesegaran tubuh badan seseorang.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar